Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

30 September 2011

Menjelang 60 tahun, rahsia kekuatan PAS


Idris Ahmad

PAS akan menyambut ulang tahun ke 60 pada 1 Oktober 2011 di Dewan Melinium Kepala Batas. Pas memilih Pulau Pinang kerana nostalgia lama Pas yang dilahirkan secara rasmi pada 24 Nov 1951 di Bagan Tuan Kecil Seberang Perai. Pas sudah muncul sebagai parti yang tertua di Malaysia, setelah Umno 1946 diharamkan oleh mahkamah, sedangkan Umno sekarang ialah Umno 1988.

Apakah rahsia Pas sehingga mampu menonggah arus dan badai taufan yang melanda, namun Pas dengan izin Allah mampu berada di persada politik tanah air bergerak dengan penuh izzah.

Semua ini kerana Pas mempunyai dasar Islam yang tulin. Walaupun Pas telah bertukar kepimpinan daripada berbagai latar belakang namun Pas tidak pernah menukar dasar, iaitu Islam sebagai mana termaktub di dalam Perlembagaan Pas fasa 3. Mereka memilih Pas kerana dasar, bukan kerana pemimpin.

Islam yang tulin sentiasa dinamik dan sesuai dengan semua masa dan keadaan. Oleh itu semua perhitungan yang dibuat semuanya bersandarkan kepada ajaran Islam. Pas tidak sekali-kali untuk menggadaikan prinsip Islam semata-mata untuk mendapat kemenangan dunia yang tidak seberapa

Islam yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam yang lengkap (syumul), merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan mati. Pas mahu memperjuangkan Din wa daulah (agama dan Negara).

Pas menerima konsep Islam secara keseluruhan “syumul”, bukan tempelan. Pas bukan menerima Islam pada perkara puasa tetapi menghalalkan judi. Pas bukan parti yang menerima hukum zakat tetapi tidak beriman dengan ayat hukuman zina. Pas bukan parti yang menerima hukum wajib puasa tetapi menolak ayat mengenai pengharaman arak.

Islam yang diperjuangkan oleh Pas bukan rekaan mana-mana pemimpin. Tetapi ia bersumberkan kepada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW yang mengajar dan mendidik melalui wahyu yang disampaikan kepada kita. Kerana Islam bukan satu doktren rekaan mana-mana pihak. Dengan itu apa sahaja tindakan yang kita lakukan ia bertitik tolak kepada apa yang diperlakukan oleh Nabi dan Rasul S.A.W. Islam yang diperjuangkan bukan satu yang hendak dipolitik atau mainan politik semata-mata. Oleh itu Pas berusaha untuk memertabatkan Islam apabila ia diberi kuasa. Bukan kita memperalatkan Islam untuk mencari sokongan. Walaupun Pas pernah dituduh merasuah syurga oleh pemimpin Umno.

Justeru itu Pas perlukan kuasa. Jika ada kuasa maka kita boleh melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita. Sebaliknya kalau kita tidak mendapat kuasa maka segala kecantikan Islam hanya boleh terdapat dalam kitab feqah dan lipatan tamaddun Islam sahaja

Pas mengajak manusia kepada Islam bukan supaya taasub kepada mana-mana pemimpin. Oleh itu ahli Pas tidak akan keluar parti jika pemimpin mereka keluar parti, kerana perjuangan mereka bukan kerana individu. Berapa ramai pemimpin Pas yang melarikan diri dalam perjuangan tetapi kesetian ahli tidak pernah luntur, malahan Pas semakin berkembang. Keluarnya mereka daripada parti tidak memberi kesan apa-apa kepada parti.

Dato’ Samad Idris (Bekas Menteri Kebudayaan) telah memberi komentar mengenai perjuangan Pas seperti berikut,

“Faktor fanatik kepada perjuangan Pas tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan Pas, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Dato’ Mohd. Asri dan Mohd. Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)

Rahsia kekuatan Pas yang lain ialah kerana Pas mempunyai ahli yang ikhlas. Mereka menyertai Pas tidak ada matlamat yang lain, kecuali untuk melihat Islam dihayati di negara ini. Penyertaan mereka tanpa dipaksa sebaliknya dengan kesedaran yang membuahkan iman di dalam diri mereka untuk berjuang bersama dengan Pas, selagi Pas berpegang dengan dasar Islam.

Kehadiran mereka bersama Pas bukan untuk meminta sesuatu daripada Pas, sebaliknya mereka yang akan berusaha untuk memberi kepada Pas samaada di segi wang ringgit atau tenaga. Mereka sedar jika berjuang bersama dengan Pas telah terpahat di dalam fikiran mereka bahawa perjuangan ini susah dan payah. Mereka tidak mengharapkan sesuatu di dunia atau imbuhan daripada Pas atau wakil rakyat Pas. Kekuatan ini lah yang dimiliki oleh Pas kerana mempunyai ahli yang begitu ikhlas di dalam perjuangan.

Mereka mengahbiskan wang ringgit dan harta benda untuk diinfaq kepada Pas. Ini boleh dilihat setiap kali pilihanraya mereka mengeluarkan belanja sendiri tanpa mengharapkan daripada pemimpin atau parti.

Walaupun di kalangan mereka ini hanya bekerja sebagai pesawah, penoreh getah, buruh kasar, tetapi mempunyai jiwa yang besar untuk menumbangkan kezaliman di nagara ini. Tepatlah seperti sabda Rasulullah SAW”Bukanlah kaya itu, kaya harta, tetapi kaya yang sebenar ialah kaya jiwa”. Apabila calon yang bertanding menang, sedikit pun mereka tidak ungkit kerja buat dan meminta kembali imbuhan yang mereka labur semasa pilihanraya, cuma mereka harap laksana amanah parti dan ingatlah kepada petugas parti yang memenangkan mereka.

Semua pengkaji politik akur bahawa kekuatan inilah yang membolehkan Pas bergerak sehingga kini dan menjadi saingan terdekat dengan Umno. Sekiranya Pas tidak mempunyai ahli yang ikhlas bagaimana Pas mampu bertahan sehingga kini. Bukan senang untuk melawan gergasi politik yang mempunyai seluruh kelengkapan untuk menghalang kebangkitan sokongan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Wasiat Allahyarham Profesor Dr Zulkifli Muhammad kepada wakil rakyat Pas selepas pilihanraya 1964 amat menyusut hati.

“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”

Sebab itu jika ada di kalangan ahli yang menyertai Pas mempunyai agenda yang tersembunyi mereka ini tidak akan kekal lama, samada mereka ini terbuang atau pun mereka yang membuang diri mereka sendiri.

Ahli Pas yang datang daripada berbagai peringkat dan darjat. Ahli-ahli Pas ada yang berkelulusan Ph.d hinggalah yang buta huruf. Mereka menyertai Pas bukan hendak dapat benda tetapi kerana cintakan Islam. Mereka sanggup menerima risiko yang berat daripada pihak yang berkuasa seperti tidak diberikan subsidi, anak tidak dapat biasiswa, dipotong bantuan kebajikan. Semuanya mereka sanggup menerima kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Kehadiran mereka dalam program ceramah atau program parti tanpa diupah dan disuruh, sanggup untuk berbelanja berbelas-belas ringgit semata-mata untuk mendengar ucapan pemimipin mereka yang dicintai dan menderma kepada perjuangan

Ahli yang ikhlas walaupun buta huruf adalah lebih baik daripada mempunyai ijazah berjela-jela tetapi boleh dibeli oleh Umno. Ahli-ahli Pas yang menerima tarbiah yang jelas mereka tidak rela membiarkan maksiat dan berkompromi dengan program maksiat. Umno bimbang hendak membuat program maksiat kerana takut kepada Pas yang sentiasa menentang program yang berunsur maksiat.

Rahsia kekuatan Pas yang lain ialah kerana ia didokong oleh ulama’ dan mereka yang mempunyai latar belakang agama. Kebetulan penubuhan Pas kerana kesedaran untuk membentuk jamaah yang melakukan kerja-kerja para nabi dan Rasul yang terdahulu iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan perkara munkar.

Ulama’ yang memahami agama dan perintah Allah akan melibatkan diri bersama dengan Pas. Penglibatan mereka secara langsung telah memberikan impak yang besar kepada Pas. Kerana sikap orang melayu yang begitu intim dengan orang agama telah berjaya memberi kesan yang positif kepada perjuangan Pas. Penyertaan orang agama bersama Pas kerana serasi dengan apa yang mereka belajar di sekolah, pondok atau universiti. Sebab itu Mahathir Mohd Khir pernah menulis Pas mempunyai kaitan dnegan 3P, iaitu padi pondok dan Pas.

Memang ini terbukti tempat yang kuat pengajian agama maka di situlah akan menjadi pengkalan Pas. Sebab itu Pas berkembang di Kelantan walau pun penubuhanya di Seberang Perai, kerana Kelantan mempunyai institusi pondok yang banyak.

Pondok menjadi pengkalan Pas walaupun ia bukan markaz Pas tetapi secara tidak langsung segala idea dan fikrah yang bawa oleh Tok Guru telah mempengaruhi orang awam yang untuk menyokong Pas. Sebab itu jika ada Tuan Guru pondok yang menyokong perjuangan Umno, maka pondoknya tidak ramai penghuninya akhirnya pondok tersebut mati begitu sahaja.

Dokongan di kalangan profesionl dan aktivis hasil daripada pentarbiahan yang mereka dapat daripada ulamak telah menjadi nilai tambah kepada Pas. Mereka ini pula berusaha untuk mendekati golongan yang mungkin tidak mampu untuk duduk bersila di masjid atau di surau bersama dengan Tuan Guru. Apabila orang ramai melihat sikap keterbukaan Pas dan pelbagai ragam yang memimpin Pas maka mereka akan tertarik bersama dengan perjuangan Pas.

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu

 KUALA LUMPUR, 29 Sept: DAP, PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Taqiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain.

Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti dalam isu hudud.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi.


Isu hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kelantan agar melaksanakan hudud kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan akan keluar Pakatan Rakyat jika pakatan setuju menjadikan agenda hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ia terus panas apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kerelaan jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. -Hrkh
 

Mahkamah bebas ahli PAS pakai baju Bersih

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Sesyen di sini, semalam membebaskan tanpa melepaskan dua ahli PAS yang ditangkap di Rompin 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0.

Mohd Fadzli Ramly, 33, seorang peguam ialah AJK Pemuda PAS Pahang sementara Abdul Manaf Md Hassan, 41, merupakan AJK PAS Dun Tioman.

Ketika dihubungi, Mohd Fadzli berkata beliau masih belum berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mahkamah masih belum memulangkan baju-T yang dirampas daripadanya sebelum ini.

"Ini tuduhan mengarut dibuat akibat rasa terdesak kerajaan Umno dan BN hendak menyusah dan menakut-nakutkan rakyat yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami akan ambil tindakan saman ke atas kerajaan," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman.

Sebelum ini mereka dituduh di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana memakai baju sebuah pertubuhan haram.

Pendakwaan dilakukan ketua unit pendakwaan negeri Pahang, Kalmizah Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hon Kai Ping dan Hisham Ramzam di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki pakaian yang tertera tulisan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bersih dan adil bagi kepentingan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di markas PAS Kampung Mentara, Rompin, kira-kira jam 10.50 malam, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Kedua-duanya dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, turut meraikan pembebasan mereka ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusuf Embong dan ahli-ahli PAS. -Hrkh

Hudud : Keputusan Mesyuarat Pakatan Rakyat,Respon Tok Guru Nik Aziz


Kenyataan Tok Guru Nik Aziz :

Bismillah, saya dimaklumkan keputusan pimpinan Pakatan Rakyat semalam yang menghormati hasrat Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah.


Alhamdulillah, saya menerima baik dan bersyukur sangat2 kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia tidak menyentuh non muslim.

Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh UMNO yang masih menghalang hasrat kami.

Dipetik dari Facebook Tok Guru Nik Aziz

ALHAMDULILLAH... Bila pencen baru dapat hidayah...tahniah Bekas OCPD

Bekas OCPD: Bukit Aman buat keputusan 'tak bijak'

Seorang bekas pegawai kanan polis yang terlibat dalam peristiwa Memali mendakwa keputusan pegawai atasannya di Bukit Aman untuk menangkap pemimpin PAS Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya sebagai 'tidak bijak'.

 Bekas ketua polis daerah Baling, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim dalam bukunya 'Memali: A policeman remembers' berkata keputusan tidak bijak itu dibuat dengan campurtangan politik serta kerana memandang rendah ketabahan pengikut Ibrahim.

Peristiwa berdarah pada 19 November, 1985 menyebabkan kematian Ibrahim, 13 pengikutnya dan empat anggota polis, selepas percubaan kali kedua untuk menahan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Muszaffar menulis bahawa pegawai-pegawai tertinggi di Bukit Aman sepatutnya tidak menuruti arahan daripada pemimpin politik mereka dan menolak permintaan yang tidak selaras dengan norma-norma atau prosedur polis.

"Budi bicara dan tindakan polis tentang bagaimana mereka harus melaksanakan tanggungjawab perlu mengikut situasi pada peringkat akar umbi," katanya.

 Pada masa itu, pihak polis diletakkan di bawah jagaan Tun Musa Hitam dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri. Tun Dr Mahathir Mohamad ketika kejadian itu adalah perdana menteri.

Menurut Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen pada bulan Februari 1986, kerajaan cuba memberikan justifikasi bagi menangkap Ibrahim di bawah ISA dengan menuduh beliau menubuhkan Gerakan Revolusi Islam yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan persekutuan dengan kekerasan.

Walaupun Muszaffar tidak membekalkan apa-apa dokumen mengenai contoh campur tangan politik itu, katanya, Musa telah mengeluarkan arahan khusus semasa percubaan pertama pada 2 September 1984 untuk menangkap pemimpin PAS berkenaan.

 Dalam buku itu, Muszaffar berkata Musa telah mengarahkan Bukit Aman untuk memastikan bahawa pihak berkuasa tidak menggunakan kekerasan semasa menangkap Ibrahim dan berundur sekiranya mereka menghadapi rintangan.

Dengan diketuai oleh ketua daerah polis cawangan khas, pihak berkuasa menuju ke rumah Ibrahim di Kampung Charok Puteh pada jam 2:45 pgi hari berkenaan tetapi berundur mereka dihalang oleh puluhan penduduk yang bersenjatakan buluh runcing dan senjata lain.

28 September 2011

PRU 13: Ulamak PAS bersiap gempur Umno

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali (gambar) menegaskan bahawa pihaknya telah siap menyusun strategi dan pelan tindakan untuk menggempur Umno BN dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 nanti.


Menurut beliau, Dewan Ulamak telah menggerakkan jenteranya di seluruh negara untuk memastikan matlamat menuju ke Putrajaya menjadi kenyataan dengan izin Allah SWT.

Beliau menambah, ia merupakan sebahagian keputusan dan pelan tindakan yang telah diambil dalam Retreat Ulamak Pelapis PAS yang telah diadakan di Perak, baru-baru ini.
“Kita telah mengeluarkan arahan kepada seluruh jentera dewan untuk bersiap sedia menghadapi PRU 13 nanti yang mungkin akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja,” tegas beliau.

“Insya Allah kita akan menyediakan 12 orang khutaba’ mengikut skala yang tertentu dan buku panduan petugas dalam masa sebulan ini untuk menjadi panduan yang jelas bukan sahaja kepada petugas Dewan Ulamak PAS Pusat tetapi juga diagihkan kepada seluruh petugas-petugas dari pelbagai lajnah dan dewan,”tambah beliau.

Menurutnya, buku manual itu akan mendedahkan bagaimana Umno gagal untuk membela nasib umat Islam secara sepatutnya di negara kita sekarang.

Beliau menjelaskan ia adalah buku yang ingin memberi nasihat seluruh rakyat Malaysia dan Umno secara tidak langsungnya supaya kembali kepada panduan Al-Quran dan as-Sunnah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.

“Kita menyeru kepada semua ahli Dewan Ulamak sama ada pada peringkat pusat ataupun negeri agar berada dalam bersiap dan mengikut segala perancangan yang telah ditetapkan dan yang paling penting senantiasa berdoa kepada Allah SWT supaya segala usaha kita ini diberkati oleh Allah SWT kerana itulah matlamat utama perjuangan kita,” ujar beliau lagi. -Hrkh

22 September 2011

MB Perak sapu tanah, tak yakin BN akan kembali berkuasa

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat tentang skandal hutan seluas 74 hektar di Belum-Temenggor Forest Complex (BTFC) serta kelulusan 68,503 ekar tanah negeri sejak merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat pada Februari 2009.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata, aktiviti pembalakan juga berleluasa, termasuk di Segari dan Beruas.Beliau yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata, menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Perak Datuk Nik Mohd Shah Nik Mustafa, kerajaan negeri Barisan Nasional telah meluluskan aktiviti pembalakan di hutan seluas 74 hektar itu sejak merampas kuasa dari Pakatan.

Menurut laporan mStar, Nik Mohd dipetik sebagai berkata, “Kawasan itu adalah milik kerajaan negeri. Jadi kerajaan negeri mempunyai kuasa terhadap apa jua rancangan pembangunan di kawasan itu.”

Manakala berdasarkan sumber dalaman Ngeh, Zambry dikatakan telah pun meluluskan sejumlah 68,503 ekar tanah sejak rampasan kuasa hingga Julai tahun ini yang mana 60,561 ekar tanah itu telah diluluskan untuk sektor industri atau pertanian.

Zambry sebelum ini telah membuat kenyataan akhbar mendakwa beliau tidak mengetahui tentang perkara itu dan beliau telah memberi arahan untuk menyiasat sedalam-dalamnya mengenai aktiviti membersihkan hutan tersebut.
Bagaimana pun menurut Ngeh, Zambry sentiasa mengelak dari menjawab berhubung isu Hutan Belum ketika dalam sesi Dewan Rakyat.

Tambah Ngeh yang juga Adun Setiawan, kroni-kroni yang terlibat dalam aktiviti itu dijangka mendapat keuntungan RM900 juta, melebihi bajet kerajaan negeri, iaitu cuma RM800 juta.
Menurut Ngeh, ketika Pakatan Rakyat memerintah, tanah-tanah simpanan hanya diberikan kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah dan miskin sahaja, tanpa dilayan mana-mana kroni.

“Semua tanah yang diluluskan untuk pertanian komersial akan melalui tender terbuka yang semestinya akan meraih keuntungan yang tinggi bagi rakyat, bukan seperti apa yang terjadi pada Hutan Belum,” katanya.
Ngeh mendakwa apa yang Zambry dan kroni-kroninya lakukan ialah meraih untung sebanyak mungkin kerana mereka tidak yakin BN akan mampu mengekalkan kuasa yang dirampas daripada Pakatan.
“Oleh itu, beliau dan kroni-kroni beliau cuba meraih sebanyak mungkin keuntungan sebelum pilihan raya umum ke-13 yang akan datang,” katanya.

Namun, beliau menganggap Zambry tidak bertanggungjawab kerana akan meninggalkan pelbagai masalah kepada rakyat Perak dan kerajaan Pakatan selepas PRU ke-13 nanti semata-mata kerana sikap tamak mereka. – Roketkini.com

Umno beri hak mengundi kepada ribuan nelayan Indonesia

SEBELUM ini heboh cerita tentang pemberian warganegara kepada lebih 600,000 pendatang asing di Sabah, yang didedahkan oleh Wikileaks sebagai balasan mengundi Barisan Nasional [Wikileaks]

Malaysiakini turut menyiarkan satu lagi pendedahan wikileaks berhubung pengakuan bekas pengerusi SPR tentang pemberian lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pendatang asing [IC Palsu].

Apa yang lebih menarik, salah sebuah stesen TV berpengaruh Indonesia, SCTV di dalam laman sesawang rasminya pernah menyiarkan satu laporan pada 25 Ogos 2005 bahawa parti terbesar Malaysia, Umno telah memberikan hak mengundi kepada ribuan nelayan bugis di Sabah yang berasal dari Indonesia [SCTV]


Apa nak dikata? Bangkai gajah, manakan mampu ditutup dengan tudung saji.

ReJaM© "Negara digadai di depan mata, pemimpin berdengkur mengidam kuasa..."

TERKINI!! Pakatan Rakyat Hampir Selesai Pembahagian Kerusi


Pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat hampir muktamad, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada sidang media Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini, Anwar memberitahu perbincangan di peringkat negeri sebahagiannya sudah selesai dan hanya menunggu laporan untuk tindakan selanjutnya di peringkat pusat.

Menurutnya, tidak timbul bahawa pembahagian kerusi di dalam Pakatan Rakyat menimbulkan banyak masalah.

"Hari ini kita telah berbincang tentang isu pembahagian kerusi dan semuanya telah selesai dan kita minta setiap negeri memberi pandangan kepada jawatankuasa peringkat pusat sehingga akhir bulan ini.

"Tidak benar mengatakan rundingan pembahagian kerusi ini gagal dan kita tidak nafikan bahawa rundingan ini memang mempunyai perbezaan pendapat peringkat parlimen dan dewan undangan negeri, tetapi hari ini selesai serta minta negeri menyatakan laporan untuk pertimbangan peringkat pusat, " jelas Anwar.

Dalam pada itu Setiusaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali juga memberitahu, sebahagian negeri sudah selesai mengemukakan cadangan.

"Sudah ada negeri yang telah selesai mengemukakan cadangan masing-masing dan sekarang dalam pertimbangan peringkat pusat.

"Buat masa ini kita tidak akan mendedahkan negeri mana yang telah selesai, dalam pada itu mana-mana negeri yang tidak mendapat jalan penyelesaian seperti berlakunya pertindihan maka jawatankuasa peringkat pusat akan membuat keputusan," jelas Mustafa.

Sebelum ini terdapat dakwaan mengatakan PAS mahu bertanding di kerusi parlimen PKR yang lompat.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR mendapat kemenangan terbesar di Parlimen dengan 31 kerusi, yang mana Pakatan Rakyat menang di lima negeri dan 82 kerusi Parlimen manakala PAS memenagi 23 kerusi Parlimen.

20 September 2011

PAS rai ulang tahun ke-60 hujung bulan ini

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 24 November 2011 bakal diraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 parti berkenaan selama dua hari bermula pada 30 September ini.

Perayaan gilang gemilang itu akan diadakan di Dewan Melenium, Kepala Batas, Pulau Pinang memandangkan negeri berkenaan pernah menyaksikan proses awal penubuhan PAS.

Pagi Sabtu

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadualkan menyampaikan ucapan tama di majlis keraian tersebut pada hari Sabtu.

Sambutan enam dekad ini khabarnya bertambah menarik kerana bakal mendedahkan pengkisahan sejarah jatuh bangun PAS di persada politik tanah air.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar kemudiannya bakal membentangkan kertas kerja Pemikiran Dr Burhanuddin Helmi & Zulkifli Mohamad Dalam Pembentukan Gagasan Perjuangan PAS.

Haji Subki Latif yang sangat mendalam pengetahuannya mendalam mengenai PAS turut menyumbang kertas kerja berjudul Peranan & Sumbangan PAS Dalam Peta Politik Negara Sesudah 1969 Hingga Masakini.

Prof Amerities Dato Bakar Hamid akan membentangkan kertas kerja ketiga, iaitu Masa Depan PAS dalam Perjuangan Islam & Kesejerahteraan Bangsa.

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pula akan menyempurnakan ucapan perasmian penutup.


Malam Sabtu

Satu rapat umum perdana diadakan. Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu diberi tanggungjawab sebagai moderator forum. Panel yang hadir antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (Pengerusi DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang).

TG Nik Aziz dan TG Abdul Hadi turut dijadualkan turut serta dalam rapat umum perdana tersebut sebagaimana dimaklumkan dalam portal rasmi penganjur, http://www.sambutan.com.my/.

Dalam hati saya hanya ada PAS - Hassan Ali

LUMPUR, 19 Sept: AJK PAS Pusat yang juga Exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyatakan beliau tetap akan bersama PAS dan tidak berminat untuk menyertai Umno.

Beliau berkata, tiada sebab untuk beliau menyertai Umno yang disifatkannya sedang "nazak dan hampir karam".

"Dalam hati saya hanya ada perjuangan Islam (PAS), bukan Umno.

“Untuk apa saya buat begitu (masuk Umno) sedangkan Umno dalam keadaan nazak, jentera dan kapalnya semua hampir tenggelam," katanya tegas.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan spekulasi yang ditimbulkan dalam blog bahawa beliau akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno dalam masa terdekat.

Menurut beliau yang menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, PAS tetap pilihannya kerana beliau yakin dengan perjuangan PAS kerana dasar perjuangan Islam parti itu yang berpandukan berpandukan Al-Quran dan Al-sunah, Ijma' Ulama dan Qias.

"Semenjak cerita bohong ini disebarkan dalam blog dan laman sesawang facebook saya telah menerima 15 panggilan telefon dan 25 SMS megenai hal tersebut.

"Semua buang masa, dan lebih baik saya beri tumpuan dengan kerja pentadbiran kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) untuk pertingkatkan ekonomi negeri Selangor, " katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Gombak semalam.

Turut hadir bersama Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shari Sungib, pimpinan Pakataran Rakyat Selangor dan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Sementara itu beliau sekali lagi turut menafikan dakwaan bahawa ada berjumpa dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menyatakan hasrat menyertai Umno.

"Saya harap  provokasi murahan yang dilemparkan terhadap saya dapat menenangkan semua rakyat. Yakinlah saya tetap dengan perjuangan PAS dan terus berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga akhirnya bagi menentang kezaliman Umno BN," tegasnya. -Hrkh

Mansuh ISA: A Samad Said Curiga Muslihat Najib Altantuya

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mempersoal keikhlasan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kononnya dibuat kerana ‘kita dengar isi hati rakyat yang mahu perubahan’.

“Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA),” katanya yang tidak terkejut dengan kenyataan Najib itu.

Beliau yang dimesrai dengan nama Pak Samad berkata, Perdana Menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

“Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah.

Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum Himpunan Bersih sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Pada majlis hari ini yang turut menjual kemeja-T tertera gambar Pak Samad dan judul antologi itu, beliau mengingatkan perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda kerana golongan tua tidak mahu ‘diganggu’.

“Saya harap angkatan muda tidak saja menggguna sajak atau puisi sebagai senjata tapi juga mengunakan undi untuk melakukan perubahan regim.

Kalau tidak, kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang.

Salahkan diri sendiri.

“Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain.

Yang berjuang orang lain, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

“Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan,” katanya.

Halang Ahli Politik Beri Kuliah Agama, Tindakan Tidak Masuk Akal

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman menegaskan tindakan menghalang mana-mana ahli politik dan wakil rakyat daripada menyampaikan kuliah agama di masjid mahupun surau adalah langkah “tidak masuk akal.”

“Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung,” katanya.

Dr Rani yang juga ADUN Meru itu berkata, beliau kesal dan tidak berpuas hati kerana tauliahnya untuk mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah ditarik balik.

Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussin dipetik berkata ahli politik tidak lagi diberi tauliah untuk berceramah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor.

“Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan mereka tidak lagi dibenarkan memberikan ceramah di semua surau dan masjid di negeri ini,” kata Marzuki.

Marzuki berkata, larangan terhadap ahli politik itu adalah bagi mematuhi titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun lalu.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor tidak berkenan untuk memberikan tauliah kepada semua ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di seluruh Selangor.

Dr Rani yang dilantik sebagai ketua PAS negeri Jun lalu menambah, pentauliahan diadakan bagi mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang tidak dikenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.

“Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki,” tambah beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Dr Rani memberitahu, sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.

Katanya, jika dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid, malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.

“Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah Jais hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.

“Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau,” tambah Dr Rani.

Beliau juga menjelaskan, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.

“Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.

“Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong,” kata wakil rakyat penggal pertama ini. -tvsnews

19 September 2011

Ni Hang Semua Pasai La Mat Sabu!!!

Hang punya pasai Mat Sabu.....:-)))

Negara diselubungi jerebu
Dari KL hingalah ke Sibu
Banyak asap dan debu
Reda sedikit isu Mat Sabu
Senyap terus isu JAIS serbu
SPR pula diam dalam kelambu
Semakin hari semakin kelabu
Dakwat kekal atau guna jari ibu

Hari-hari ada cerita baru
Timbul pula profesor keliru
Mungkin dia mabuk tairu
Kepala tak gatai pun dia garu
Dijajah atau tak jadi isu terbaru
Pening semua cikgu dan guru
Guru konpius murid haru-biru
Nak guna pen merah atau biru
Cerita sejarah macam katak puru

Habis kita nak gelar apa kat Tunku
Bapa Kemerdekaan dah tak laku
Laungan merdeka jadi lawak tigasuku
Kena cetak semula semua buku-buku
Salah fakta tentang sejarah tanahairku
Profesor Kling buat rakyat terkaku
Tak sangka ada professor kuku

Keris Silau
13 September 2011

18 September 2011

Najib masih nak kelentong rakyat !


Di bawah ini ialah Petikan kata-kata Najib ketika berucap menutup Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini petang semalam ……“Saya tidak takut dengan Anwar Ibrahim,.. saya tidak keberatan jika perlu berhadapan dengan Ketua Pembangkang itu dalam mana-mana debat ala pemilihan presiden”

Acah je tu,… hakikatnya sudah terbukti Najib yang sebenar ialah seorang yang  penakut!  Najib yang sebenar ialah pembohong. Contoh – Najib berjanji untuk membenarkan perhimpunan BERSIH di stadium, tapi tak ditunaikan, malahan cuba berdolak dalik. 

Kesanggupan Najib untuk berdebat dengan Anwar ini pun sebenarnya adalah pengakuan kosong. Ia hanya helah atau muslihat, agar tertonjollah keberaniannya di mata rakyat. Walhal dalam hati beliau,  sudah menjangka bahawa Anwar akan disumbat kedalam penjara, maka dengan sendiri akan tertutuplah soal debat itu..

Najib juga menegaskan,.. “ Inisiatif untuk memansuhkan ISA adalah keputusan dibuat kerajaan BN dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain”   Justeru Perdana Menteri mengingatkan jangan ada pihak atau individu yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman beliau untuk memansuhkan ISA itu adalah hasil perjuangan mereka.

Kenyataan di atas jelas memperlihatkan kesombongan dan keangkuhan Najib. “Confirm” sikap hipokrit  memang sudah menjadi hak milik kekal pemimpin-pemimpin Umno.  Sedarlah Najib!
Telah begitu lama rakyat bersungut dan merintih!,.. Sudah begitu lama badan-badan NGO menjerit meminta kerajaan menghapuskan ISA !,.. 

Usahlah Najib cuba menafikan peranan penting yang dimainkan oleh pembangkang. Saban waktu mereka ini meraung agar akta zalim ini dikuburkan segera. Tidakkah keputusan yang kamu nak buat itu adalah impak dari tindakan-tindakan  mereka semua? Malu sangatkah Najib nak mengaku? Terhempapkah maruah Najib jika dia bercakap ilklas? Nampaknya Najib semakin bercelaru !!

Hari ini Najib senang-senang kata pemansuhan ISA itu semata-mata datangnya dari niat ikhlas kerajaan BN – tidak ada kena mengena dengan pihak lain.  Ish, ish! Ish…jelik dan lucu benar kita mendengarnya!  Kalau benar ikhlas, bebaskan segera mangsa yang masih ditahan! Hulurkan tangan dan ucapkan kata maaf kepada mangsa dan seluruh ahli keluarga mereka yang sekian lama anda zalimi !!

Sebagai rumusan, apa yang kita boleh kata tentang sikap Umno atau pemimpin Umno, cukup mudah !  Cerdik tak boleh diikut, bengap tak boleh diajar!. Kewarasan berfikir tak seberapa!, Sudahlah sombong dan keras hati,ditambah lagi dengan bebal. Mereka tak mahu cermin diri tetapi  perasan lebih.    Najib! kalau nak tunjuk lagak berani macam Ibrahim Al Kataki, silakan. Jangan heret rakyat undur kebelakang. Jangan cuba membelenggu pemikiran rakyat !!   

Oleh : rahimothman