28 September 2011

Tok Guru Nik Aziz Beri Jaminan ' Hudud ' Tak Libatkan Bukan Islam

Tok Guru Nik Aziz menolak pandangan bahawa keadaan negara tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. — Foto fail

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Dilihat sebagai usaha berterusan mahu meyakinkan bukan Muslim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini memberi “jaminan” undang-undang hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam. 
Mursyidul Am PAS ini berkata undang-undang itu yang diusahakan sejak 17 tahun lalu untuk dilaksanakan di Kelantan hanya meliputi masyarakat Islam.

“Saya memberi jaminan jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan, ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam sebab hanya meliputi umat Islam,” kata Nik Aziz dalam mesej menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Ia merupakan mesej ketiga daripada Nik Aziz sepanjang satu minggu ini, yang dilihat mahu meyakinkan bukan Islam mengenai hukum hudud.

Pendirian itu diketengahkan pada hari kepimpinan Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat berhubung isu tersebut selepas DAP dan PAS bertembung dan bertegas dengan pendirian masing-masing.

Mesyuarat Pakatan Rakyat akan berlangsung di ibu pejabat PAS di sini, malam ini.
Pada 24 September lalu, Nik Aziz meminta bukan Muslim memberi pandangan jujur sama ada mereka akan bersetuju jika undang-undang itu dilaksanakan.

“Perbincangan terbuka, kepada rakan-rakan bukan Islam yang dihormati, adakah anda akan bersetuju jika hukumam hudud dilaksanakan?

“Sila berikan pandangan anda mengenai perkara ini, tanpa prejudis, sentimen politik dan emosi,” kata Menteri Besar Kelantan dalam mesej terdahulu.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berusaha untuk melaksanakan undang-undang ini sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994 ketika pentadbiran Mahathir.

Isu itu berkembang semula sebagai kontroversi minggu lalu Nik Aziz menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Sebelum ini Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan satu kenyataan minggu lalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi ia tidak dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.TMI

PRU 13: Ulamak PAS bersiap gempur Umno

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali (gambar) menegaskan bahawa pihaknya telah siap menyusun strategi dan pelan tindakan untuk menggempur Umno BN dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 nanti.


Menurut beliau, Dewan Ulamak telah menggerakkan jenteranya di seluruh negara untuk memastikan matlamat menuju ke Putrajaya menjadi kenyataan dengan izin Allah SWT.

Beliau menambah, ia merupakan sebahagian keputusan dan pelan tindakan yang telah diambil dalam Retreat Ulamak Pelapis PAS yang telah diadakan di Perak, baru-baru ini.
“Kita telah mengeluarkan arahan kepada seluruh jentera dewan untuk bersiap sedia menghadapi PRU 13 nanti yang mungkin akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja,” tegas beliau.

“Insya Allah kita akan menyediakan 12 orang khutaba’ mengikut skala yang tertentu dan buku panduan petugas dalam masa sebulan ini untuk menjadi panduan yang jelas bukan sahaja kepada petugas Dewan Ulamak PAS Pusat tetapi juga diagihkan kepada seluruh petugas-petugas dari pelbagai lajnah dan dewan,”tambah beliau.

Menurutnya, buku manual itu akan mendedahkan bagaimana Umno gagal untuk membela nasib umat Islam secara sepatutnya di negara kita sekarang.

Beliau menjelaskan ia adalah buku yang ingin memberi nasihat seluruh rakyat Malaysia dan Umno secara tidak langsungnya supaya kembali kepada panduan Al-Quran dan as-Sunnah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.

“Kita menyeru kepada semua ahli Dewan Ulamak sama ada pada peringkat pusat ataupun negeri agar berada dalam bersiap dan mengikut segala perancangan yang telah ditetapkan dan yang paling penting senantiasa berdoa kepada Allah SWT supaya segala usaha kita ini diberkati oleh Allah SWT kerana itulah matlamat utama perjuangan kita,” ujar beliau lagi. -Hrkh

Generasi media baru bakal tumbangkan Umno-BN

KUALA TERENGGANU - Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal tumbang dalam pilihan raya akan datang dengan tangan-tangan generasi media baru, anak-anak muda 'facebook', 'twitter' dan 'blogger'.

Beliau berkata 80 peratus golongan tersebut telah menolak hujah Umno dan Barisan Nasional kerana mereka mendapat maklumat “fist hand” yang hanya dihujung jari mereka.

“Anak-anak muda sekarang ini maklumat dihujung jari. Jangan lupa generasi baru sekarang generasi facebook, generasi twitter, generasi bloggers dan generasi internet.

“Mereka ini mendapat maklumat ‘fist hand’ dan 80 peratus golongan ini telah menolak hujah Umno dan Barisan Nasional.

“Ingat golongan anak muda facebook inilah yang menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak dan anak muda inilah yang akan mengguling kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya dalam program Forum Rakyat Sempena Merdeka di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, dekat sini, Ahad 25 September.

Dalam pada itu, menurutnya, Umno-BN melakukan pelbagai cara fitnah terutama melalui media Utusan Malaysia bagi memenangi hati rakyat.

Amalan Umno dan BN  itu, katanya, umpama kempen pada tahun-tahun 60-an, menggunakan akhbar Utusan yang sama.

Menurutnya, rakyat di negara ini terutama dari kalangan kaum Cina dan India semakin kuat menolak kerajaan BN.

“Rakyat telah berubah tetapi pemerintah (BN) belum lagi berubah. Dia (Umno) masih berkempen ala tahun 60-an.

“Kajian yang dibuat orang tionghua (Cina) 80 peratus tidak mengundi Barisan Nasional (BN). Orang India sedang meningkat sokongan mereka kepada pembangkang Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Oleh itu, kata Mohamad kekuatan Umno-BN hanya kepada orang Melayu terutama yang berada di luar bandar.
Menurutnya, Umno-BN berusaha menambahkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu dengan diputar-belit kenyataan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Forum tersebut turut mengundang dua ahli panel lain iaitu Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Profesor Dr Mohamad Abu Bakar dan Profesor Dr Hasan Hasbullah sebagai moderatornya. -BO
 

Video : Wacana Sinar,Wajarkah Sejarah Ditulis Semula?