20 September 2011

"Tiada Bukti DNA Lelaki Y Itu Dari Sperma", Terkencing Dalam Kain Ahli Kimia Malaysia

Pakar: Ahli kimia 'sembunyi' maklumat DNA ketiga

Pihak pembelaan dalam perbicaraan liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menimbulkan kemungkinan sampel yang diambil dan diuji oleh ahli kimia dicemari tetapi hakikat itu diabaikan.

Tumpuan adalah terhadap calitan kapas B9 yang diperolehi dari kawasan rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tuala putih yang diperolehi daripada sel Anwar apabila beliau ditahan semalaman.

Ram Karpal, yang menyoal balas berkata demikian berikutan penemuan 18 allele yang menunjukkan kemungkinan kehadiran orang ketiga.

Katanya, keraguan timbul tentang prosedur standard makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bersabit sampel DNA yang diperolehi daripada pengadu Saiful Bukhari.

Pakar DNA Australia Dr Brian McDonald berkata kedua-dua ahli kimia tempatan Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon - tidak sepatutnya mengabaikan pencemaran berkenaan.

"Mereka sepatutnya menjalankan ujian lanjut untuk memperkuatkan penemuan tentang 18 allele itu,"
kata McDonald.

Katanya, berdasarkan laporan pakar kimia tempatan itu, mereka telah menemui tiga sampel DNA dari dubur Saiful.

Namun Dr McDonald berkata Seah tidak menyatakan dalam laporannya akan kehadiran DNA individu ketiga yang menyumbangkan bacaan tinggi melalui ujiannya selain daripada Saiful dan 'lelaki Y'.

"Dia (Seah) menemui DNA lain tapi dia tidak melakukan apa-apa," katanya.

Apabila ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengapa ini adalah perlu, Dr McDonald menjawab kerana lebih banyak ujian diperlukan bagi mengenal pasti milik siapa DNA itu (pada 18 allele).

"Kedua-dua mereka (Seah dan Nor Aidora) tidak menawarkan apa-apa penjelasan mengapa ujian lanjut tidak dilakukan."

Justeru katanya lagi, pakar kimia tempatan itu telah mengabaikan beberapa garis panduan asas makmal untuk memastikan sampel DNA diasingkan sepenuhnya daripada benda asing.

"Dia tidak boleh mengatakan ia milik sesiapa... hanya jika dia melihat melalui mikroskop dan memastikan sampel hanya mempunyai ekstrak sperma asli," katanya lagi. -mk


Kes liwat: Tiada bukti DNA ‘Lelaki Y’ hasil dari sel sperma

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Pakar dari Australia menegaskan tiada bukti yang menunjukkan bahawa profil-profil DNA yang diperoleh daripada “Lelaki Y” dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim datang daripada sel-sel air mani.

Dr Brian McDonald, saksi pembela memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pihak pendakwa tiada bukti bagi menunjukkan jensi sel yang profil DNA diperoleh.

Justeru, pakar DNA ini juga mencabar penemuan analisis yang dikendalikan oleh ahli kimia kerajaan Dr Seah Lay Hong dan Dr Nor Aidora Saedon.

Malah Dr McDonald juga menekankan kemungkinan wujud kontaminasi ke atas sampel-sampel yang diambil dan diuji oleh kedua-dua ahli kimia, yang menurutnya telah diabaikan oleh mereka.

“Tiada bukti dikemukakan, yang membolehkan pendakwa membuat rumusan itu,” kata Dr McDonald ketika ditanya oleh peguam pembela Ramkarpal Singh sama ada pendakwa ada membuktikan bahawa profil-profil DNA daripada “Lelaki Y” sebenarnya datang daripada sel-sel air mani
.

“Kita tidak tahu jenis-jenis sel yang sampel diambil,” kata beliau.

Dr McDonald sebelum ini berkata bahawa profil-profil yang diperoleh daripada sampel sperma, yang diambil dari bahagian rektum pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak menunjukkan sebarang bukti yang keadaan bahan bukti itu terjejas.

Beliau ada memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa profil DNA di bahagian rektum tinggi adalah milik “Lelaki Y”, satu lagi kepunyaan Saiful dan yang ketiga, dari kawasan rektal rendah tidak konklusif.

Dr McDonald juga berkata Dr Seah dan Dr Nor Aidora telah mengabaikan penemuan yang mengesyorkan mengenai kehadiran sampel DNA ketiga.

“Mereka seharusnya telah mengadakan ujian susulan untuk menguatkan penemuan ke atas 18 allele (profil DNA). Kedua-dua (Seah dan Nor Aidora) tidak menawarkan sebarang penjelasan mengapa ujian susulan tidak dijalankan,” katanya lagi.

Pakar itu memberitahu ujian-ujian dijalankan oleh ahli kimia kerajaan gagal untuk menunjukkan dari mana sampel-sampel DNA diperoleh.

“Bukti ini tidak memberitahu kita (sama ada) ia datang daripada sperma atau air liur,” kata Dr McDonald.

Anwar, 64, yang juga Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 25, di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008. -TMI

PAS rai ulang tahun ke-60 hujung bulan ini

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 24 November 2011 bakal diraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 parti berkenaan selama dua hari bermula pada 30 September ini.

Perayaan gilang gemilang itu akan diadakan di Dewan Melenium, Kepala Batas, Pulau Pinang memandangkan negeri berkenaan pernah menyaksikan proses awal penubuhan PAS.

Pagi Sabtu

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadualkan menyampaikan ucapan tama di majlis keraian tersebut pada hari Sabtu.

Sambutan enam dekad ini khabarnya bertambah menarik kerana bakal mendedahkan pengkisahan sejarah jatuh bangun PAS di persada politik tanah air.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar kemudiannya bakal membentangkan kertas kerja Pemikiran Dr Burhanuddin Helmi & Zulkifli Mohamad Dalam Pembentukan Gagasan Perjuangan PAS.

Haji Subki Latif yang sangat mendalam pengetahuannya mendalam mengenai PAS turut menyumbang kertas kerja berjudul Peranan & Sumbangan PAS Dalam Peta Politik Negara Sesudah 1969 Hingga Masakini.

Prof Amerities Dato Bakar Hamid akan membentangkan kertas kerja ketiga, iaitu Masa Depan PAS dalam Perjuangan Islam & Kesejerahteraan Bangsa.

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pula akan menyempurnakan ucapan perasmian penutup.


Malam Sabtu

Satu rapat umum perdana diadakan. Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu diberi tanggungjawab sebagai moderator forum. Panel yang hadir antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (Pengerusi DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang).

TG Nik Aziz dan TG Abdul Hadi turut dijadualkan turut serta dalam rapat umum perdana tersebut sebagaimana dimaklumkan dalam portal rasmi penganjur, http://www.sambutan.com.my/.

Dalam hati saya hanya ada PAS - Hassan Ali

LUMPUR, 19 Sept: AJK PAS Pusat yang juga Exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyatakan beliau tetap akan bersama PAS dan tidak berminat untuk menyertai Umno.

Beliau berkata, tiada sebab untuk beliau menyertai Umno yang disifatkannya sedang "nazak dan hampir karam".

"Dalam hati saya hanya ada perjuangan Islam (PAS), bukan Umno.

“Untuk apa saya buat begitu (masuk Umno) sedangkan Umno dalam keadaan nazak, jentera dan kapalnya semua hampir tenggelam," katanya tegas.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan spekulasi yang ditimbulkan dalam blog bahawa beliau akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno dalam masa terdekat.

Menurut beliau yang menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, PAS tetap pilihannya kerana beliau yakin dengan perjuangan PAS kerana dasar perjuangan Islam parti itu yang berpandukan berpandukan Al-Quran dan Al-sunah, Ijma' Ulama dan Qias.

"Semenjak cerita bohong ini disebarkan dalam blog dan laman sesawang facebook saya telah menerima 15 panggilan telefon dan 25 SMS megenai hal tersebut.

"Semua buang masa, dan lebih baik saya beri tumpuan dengan kerja pentadbiran kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) untuk pertingkatkan ekonomi negeri Selangor, " katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Gombak semalam.

Turut hadir bersama Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shari Sungib, pimpinan Pakataran Rakyat Selangor dan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Sementara itu beliau sekali lagi turut menafikan dakwaan bahawa ada berjumpa dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menyatakan hasrat menyertai Umno.

"Saya harap  provokasi murahan yang dilemparkan terhadap saya dapat menenangkan semua rakyat. Yakinlah saya tetap dengan perjuangan PAS dan terus berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga akhirnya bagi menentang kezaliman Umno BN," tegasnya. -Hrkh

Mansuh ISA: A Samad Said Curiga Muslihat Najib Altantuya

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mempersoal keikhlasan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kononnya dibuat kerana ‘kita dengar isi hati rakyat yang mahu perubahan’.

“Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA),” katanya yang tidak terkejut dengan kenyataan Najib itu.

Beliau yang dimesrai dengan nama Pak Samad berkata, Perdana Menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

“Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah.

Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum Himpunan Bersih sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Pada majlis hari ini yang turut menjual kemeja-T tertera gambar Pak Samad dan judul antologi itu, beliau mengingatkan perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda kerana golongan tua tidak mahu ‘diganggu’.

“Saya harap angkatan muda tidak saja menggguna sajak atau puisi sebagai senjata tapi juga mengunakan undi untuk melakukan perubahan regim.

Kalau tidak, kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang.

Salahkan diri sendiri.

“Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain.

Yang berjuang orang lain, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

“Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan,” katanya.

Keangkuhan Najib Akui Kesilapan Bakal Runtuhkan UMNO BN Dengan Lebih Cepat

Najib enggan akui kesilapan - Pak Samad

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mempersenda pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai "tidak mengakui kesilapan kerajaannya".

A. Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata, amat malang apabila BN khususnya Najib masih enggan mengakui bahawa pengumuman pemansuhan itu hasil desakan rakyat khususnya anak muda yang mahukan perubahan demokrasi.

"Selama 54 tahun mereka tak terfikirkan pun ISA itu harus dikikis. Tiba-tiba sahaja mendapat ilham, dan tidak mengakui bahawa ini adalah desakan daripada kelompok antaranya anak muda bahawa kita sudah tidak tertahan lagi.

"Perdana Menteri pun dua tiga hari ini mengumumkan...oh, kami...kami sahaja yang meluruhkan ISA tapi tidak diceritakan kerana desakan-desakan itulah yang mendorongnya untuk merubah. Kalau tidak ada desakan-desakan itu, saya tidak fikir (ISA dimansuhkan) kerana itu adalah alat yang sangat bermanfaat untuk menekan (rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran buku Puisi Jadi Senjata yang memuatkan himpunan sajak anak muda sookoong A. Samad Said dan Bersih 2.0 di Dewan Annex, Central Market, dekat sini, semalam.

Pak Samad yang merupakan antara pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menghadap Sultan Mizan untuk merundingkan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu juga tidak menafikan puisi anak muda ini turut mempengaruhi tindakan Najib.

"Apa yang dilakukan ini sebenarnya satu keberanian, satu pernyataan yang akhirnya antalogi ini masuk dalam arus massa Perdana Menteri untuk mengumumkan penghakisan ISA.

"Itu saya fikir satu kemenangan yang baik, dan tentunya Perdana Menteri tidak akan mengakui itu. Tapi mahu tidak mahu, ini adalah satu jalur yang menggerakkan dan kemudian menjadi sungai yang besar mengasak, dan itulah yang berlaku," katanya di hadapan kira-kira seratus hadirin, majoritinya golongan muda.

Seni senjata anak muda

Menyifatkan seni khususnya puisi sebagai 'senjata' berkesan untuk menyedarkan pemerintah, Pak Samad mahu antalogi ini disebarluaskan ke serata negeri untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Saya mengharapkan bahawa puisi ini tidak hanya bergerak di Kuala Lumpur, tetapi tentunya ada teman lain di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

"Walaupun dalam bentuk kecil-kecilan, pergerakan menyatakan bahawa seni itu senjata sangat penting.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap usaha anak muda menerbitkan antalogi ini, Pak Samad berkata suara anak muda yang diterjemahkan melalui seni mampu merubah keadaan negara berbanding orang tua yang sudah selesa dengan kedudukan mereka.

"Yang sudah-sudah orang mengatakan seni itu hiburan sahaja, main-mainan sahaja. Tapi di tangan anak-anak muda, puisi menjadi senjata. Saya amat berbangga

"Saya sangat yakin hanya suara anak muda sahaja akan merubah. Orang tua ia sudah bersikap, maksudnya dia tidak mahu diganggu. Tapi yang benar sekarang ini ialah dunia anak muda. Bukan dunia saya lagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak terus membiarkan kuasa zalim terus membelenggu rakyat namun harus menghapuskannya melalui undi dalam pilihan raya akan datang.

"Saya harap suara muda ini membenihkan suatu keazaman untuk regim change. Kalau tidak, bermakna andalah yang membenarkan suatu kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang-orang tua, salahkan diri anda sendiri.

"Saya mengharapkan anak muda tidak hanya menggunakan sajak sebagai senjata tapi menggunakan undi juga sebagai senjata yang sangat bermanfaat," pesan beliau yang mula menjadi ikon anak muda sejak lantang menyuarakan bantahan terhadap sikap kerajaan BN melalui karya dan turut turun ke jalanan berdemonstrasi. -HD

Halang Ahli Politik Beri Kuliah Agama, Tindakan Tidak Masuk Akal

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman menegaskan tindakan menghalang mana-mana ahli politik dan wakil rakyat daripada menyampaikan kuliah agama di masjid mahupun surau adalah langkah “tidak masuk akal.”

“Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung,” katanya.

Dr Rani yang juga ADUN Meru itu berkata, beliau kesal dan tidak berpuas hati kerana tauliahnya untuk mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah ditarik balik.

Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussin dipetik berkata ahli politik tidak lagi diberi tauliah untuk berceramah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor.

“Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan mereka tidak lagi dibenarkan memberikan ceramah di semua surau dan masjid di negeri ini,” kata Marzuki.

Marzuki berkata, larangan terhadap ahli politik itu adalah bagi mematuhi titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun lalu.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor tidak berkenan untuk memberikan tauliah kepada semua ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di seluruh Selangor.

Dr Rani yang dilantik sebagai ketua PAS negeri Jun lalu menambah, pentauliahan diadakan bagi mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang tidak dikenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.

“Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki,” tambah beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Dr Rani memberitahu, sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.

Katanya, jika dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid, malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.

“Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah Jais hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.

“Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau,” tambah Dr Rani.

Beliau juga menjelaskan, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.

“Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.

“Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong,” kata wakil rakyat penggal pertama ini. -tvsnews