25 October 2011

Ciri-ciri ajaran Islam - Murunah (Fleksibel)

MURUNAH - Fleksibel


Murunah ialah anjal atau fleksibel iaitu boleh berubah mengikut kesesuaian, namun masih tetap kepada prinsip asasnya.  Dengan kata lain, hukum boleh berubah berdasarkan situasi semasa. Namun, hukum yang boleh berubah, HANYALAH yang melibatkan perkara cabang atau furuk sahaja sebagai IHSAN atau  KELONGGARAN syarak berdasarkan situasi tempat dan keadaan.
Sebagai contoh, Islam telah mewajibkan solat fardhu Zohor sebanyak 4 rakaat dalam waktu Zohor. Prinsip asasnya, iaitu Wajib Solat Zohor, tidak berubah walau dalam apa keadaan sekalipun sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. 

Namun, cabang atau furuknya boleh berubah kerana desakan tempat @ keadaan. Islam telah memberi KELONGGARAN atau RUKHSAH dengan  membenarkan solat Zohor itu dipendekkan kepada 2 rakaat (Qasar) atau dihimpunkan dengan solat Asar dalam waktu Asar (Jamak Ta’khir) kerana dalam musafir atau keadaan yang dibenarkan oleh Syarak. 

Begitu juga dalam ibadah Puasa. Allah telah mewajibkan Puasa bulan Ramdhan sebagai salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan. Prinsip asasnya adalah WAJIB kepada setiap umat Islam. Tetapi Allah telah memberi KELONGGARAN kepada orang yang sakit atau dalam perjalanan berbuka puasa kerana keadaan yang dihadapinya, TETAPI WAJIB DIGANTI apabila dia telah sihat atau kembali daripada musafir. Begitulah juga bagi wanita yang datang haid dan mengandung, disyaratkan untuk diganti semula apabila dia telah suci dan sihat. 

Ini menununjukkan bahawa Islam tidak membebankan kepada umatnya dengan amalan yang sukar dan berat dilaksanakan pada sesuatu ketika dan tempat.

Seterusnya, Allah telah meWAJIBkan umat Islam untuk menutup aurat masing-masing. Allah telah memberi KELONGGARAN kepada semua umat Islam untuk mempelbagaikan fesyen pakaian masing-masing asalkan tidak memdedahkan aurat dan melanggar batas-batas pakaian yang dibenarkan oleh syarak.

Walaupun Rasulullah SAW telah lama meninggalkan kita, tiada wahyu diturunkan selepas itu, Tiada lagi hadis diriwayatkan.... Namun Islam tetap sesuai sepanjang masa dan tempat. Prinsip Islam adalah mudah dan tepat, walau apapun isunya, walaupun ia adalah perkara baru, selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip asas ajaran islam, maka ia boleh diterima dan digunapakai. Islam telah mewariskan para ulama' sebagai penganti nabi dalam menentukan halal haram sesuatu perkara berdasarkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias dan beberapa dalil lain yang tidak disepakati spt al-Istihsan, Masalihul Mursalah, Al-Istishab, Saddu al-Zarai’, Qaul Sahabi, ‘Amal Ahli Madinah, Syar’u Man Qablana dan Al-‘Uruf Wa al-‘Adah. Melalui Ijtihad dan Fatwa para ulama' inilah  yang akan menyumbang kepada fleksibelnya agama Islam.

Sesungguhnya sifat Murunah yang menjadi asas ajaran Islam ini, menyebabkan Islam sesuai sepanjang tempat, masa dan zaman. Sesuai di zaman Rasulullah SAW, sesuai di zaman nabi Adam, sesuai di era zaman batu, sesuai di zaman era penjajahan barat, sesuai di era mesin taip, sesuai era internet  dan sesuai hingga hari qiamat. Begitulah juga, Islam sesuai di Amerika, Afrika, sesuai di Asia, sesuai di tempat salji dan berilklim sejuk @ gurun yang panas dan sesuai seluruh dunia.

No comments: